KUALA LUMPUR, 6 Disember 2025 — Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah mencadangkan agar kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diberi ‘wajah baharu’ sempena ulang tahun ke-43 tahun ini.
Paduka Baginda bertitah, ia perlu dilakukan dengan sentuhan pembaikan dan penambahbaikan menyeluruh bagi mengembalikan kesegaran dan daya tarikan universiti itu.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk sedikit sentuhan, sedikit solekan dan sedikit ‘botox’. Kampus yang indah membentuk minda yang indah.

“Pelajar berhak mendapat kampus yang memupuk kecintaan kepada alam, memelihara keselamatan dan menjadi Taman Ilmu tercantik di Malaysia,” titah Paduka Baginda pada Majlis Konvokesyen ke-41 UIAM di sini, hari ini.
Sementara itu Paduka Baginda bertitah menzahirkan hasrat untuk terlibat dengan lebih dekat dalam pembangunan masa depan UIAM sebagai Ketua Perlembagaan universiti, termasuk mendengar keperluan warga kampus dan menyumbang kepada hala tuju institusi.
“Walaupun saya berdiri di sini hari ini sebagai seorang mahasiswa, saya juga adalah Ketua Perlembagaan IIUM. Dengan peranan itu datang rasa tanggungjawab, kasih dan komitmen yang mendalam kepada universiti ini.
“Saya ingin lebih terlibat, bukan hanya menghadiri majlis konvokesyen, tetapi berjalan bersama kalian, mendengar kalian, dan menyumbang dengan lebih bermakna kepada masa depan institusi yang saya cintai.
“Pintu saya sentiasa terbuka. Mari kita bekerja dengan ikhlas, hikmah dan kesatuan hati, untuk membentuk masa depan UIAM dengan kecemerlangan, integriti dan visi,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG






