KUANTAN, 17 September 2025 – Dengan penuh rasa takzim dan junjung kasih, patik sekalian pacal-pacal warga Majlis Kesultanan Pahang merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi tahniah ke sisi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-30 pada hari ini 17 September 2025 bersamaan 24 Rabiulawal 1447H.
Sempena detik penuh bermakna ini, patik-patik sekalian merafakkan doa kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala, semoga Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku dilanjutkan usia dalam penuh keberkatan, dikurniakan kesihatan yang sempurna, serta senantiasa berada dalam peliharaan dan lindungan-Nya.
Patik sekalian pacal-pacal warga Majlis Kesultanan Pahang juga mendoakan semoga Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku terus diberi kekuatan, hikmah serta kebijaksanaan dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai pewaris tahta negeri Pahang Darul Makmur, seterusnya membawa negeri ini menuju kecemerlangan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat seluruhnya. – KESULTANAN PAHANG