KUANTAN, 11 Disember 2025 – Dengan penuh rasa hormat dan bangga, warga Majlis Kesultanan Pahang (MKP) mengucapkan tahniah kepada YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Kebawah Duli Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta seluruh skuad ekuestrian polo negara di atas kejayaan meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 2025.
Pingat tersebut diraih selepas menewaskan Filipina 7-3.5 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa kategori 2-4 Goals di VS Sports Club & Siam Polo Park, Samut Parka semalam.
Patik pacal-pacal warga MKP sekalian mengucapkan setinggi-tinggi ucapan tahniah atas persembahan cemerlang yang dipamerkan oleh pasukan negara dalam setiap perlawanan.
Kejayaan membawa pulang pingat gangsa ini amat membanggakan seluruh rakyat, khususnya bagi kami warga Majlis Kesultanan Pahang, apabila melihat komitmen dan kepimpinan YAM Tengku Arif Bendahara dalam arena sukan polo terus menyerlah dan menjadi inspirasi kepada generasi baharu.
Patik pacal-pacal sekalian turut mendoakan semoga YAM Tengku Arif Bendahara serta pasukan polo negara akan terus dikurniakan kejayaan, kekuatan dan kecemerlangan dalam setiap pertandingan pada masa hadapan, seterusnya mengharumkan nama Pahang dan negara.







