PEKAN, 26 Julai 2026 β Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke Jamuan Diraja sempena Sambutan 100 Tahun Sekolah Sultan Ahmad yang bertema Menggamit Memori Seabad Melakar Gemilang, di sekolah berkenaan semalam.
Turut mengiring keberangkatan Paduka Baginda ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Keberangkatan pada jam 8 malam itu disambut oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan 100 Tahun Sekolah Sultan Ahmad, YH Dato’ Ahmad Rahimi Abdul Samad dan alumni sekolah.
Majlis tersebut diraikan sempena memperingati 100 tahun penubuhan Sekolah Sultan Ahmad serta menghargai sumbangan sekolah dalam melahirkan ramai tokoh pelbagai bidang yang berjasa kepada negeri dan juga negara.
Sementara itu, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dalam titah menzahirkan rasa syukur kerana kembali ke Pekan yang menyimpan begitu banyak kenangan sepanjang kehidupan baginda sejak kecil.
Paduka Baginda bertitah, seawal pukul 6 pagi baginda bertolak dari istana menuju ke Padang Golf Diraja Pekan dan perjalanan itu mengimbau semula kenangan ketika berusia sekitar 12 hingga 13 tahun yang hanya berpeluang belajar menunggang kuda pada setiap Sabtu dan Ahad.
βHari Jumaat dah tak lena tidur sebab excited (teruja) nak pergi tunggang kuda. Pukul 6 pagi dah naik van sebab kena sampai sebelum Almarhum Paduka Nenda (Almarhum Sultan Abu Bakar) sampai (ke padang latihan),β kongsi Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut berkongsi nostalgia apabila menerima kunjungan seorang sahabat dari Jordan yang pernah bermain polo bersama kira-kira 25 tahun lalu, selain mengimbas kenangan pada 2001 yang mempunyai nilai sentimental tersendiri.
Sementara itu, Paduka Baginda turut berkesempatan berangkat ke muzium bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang bagi mengimbau kembali lokasi pertama Paduka Baginda dan Tengku Ampuan Pahang merakam gambar berdua kira-kira 40 tahun lalu.
Mengimbau zaman persekolahan, Paduka Baginda memulakan persekolahan di Sekolah Sultan Ahmad pada 1965 selepas berpindah dari Kuala Lipis dan belajar di sekolah itu sehingga darjah empat sebelum meneruskan persekolahan di Kuantan sehingga Tingkatan Tiga pada 1974.
Selepas kemangkatan Almarhum Paduka Nenda, Paduka Baginda dihantar melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah berasrama penuh di London ketika berusia 15 tahun dan mengakui suasana kehidupan di luar negara amat berbeza berbanding di tanah air.
Paduka Baginda berkongsi kenangan bahawa Pekan sekitar tahun 1980-an yang jauh berbeza dengan hari ini apabila suasana bandar menjadi sunyi dan lampu jalan dipadamkan seawal pukul 9 malam.
Pada masa sama, Paduka Baginda menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru, guru besar serta rakan-rakan persekolahan yang pernah bersama-sama ada dalam perjalanan hidup Paduka Baginda.
Menurut Paduka Baginda, hubungan silaturahim dalam kalangan rakan-rakan sekolah terus dipelihara sehingga kini menerusi perjumpaan yang diadakan dari semasa ke semasa walaupun masing-masing telah meningkat usia.
Kebawah Duli Paduka Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur Sambutan 100 Tahun Sekolah Sultan Ahmad serta semua penyumbang yang telah menjayakan penganjuran program berkenaan.
βTuan-tuan dan puan-puan sekalian, bersamalah kita terus menyumbang agar anak-anak kita dapat terus menimba ilmu dengan selesa dan berkesan.
βSaya sendiri ambil berat terhadap pelajaran anak-anak dan melalui Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) sehingga kini telah berjaya mengumpul anak-anak yang kurang prestasi (cemerlang) kita tukar cara belajar. Sekarang ini sudah lebih 1,000 orang anak-anak yang datang dari pendalaman dan lain-lain (kawasan) telah berjaya ke menara gading,β titah Paduka Baginda.
Sekolah Sultan Ahmad yang ditubuhkan pada tahun 1926 dengan nama Government English School merupakan antara institusi pendidikan bersejarah yang telah melahirkan ramai tokoh terbilang negara termasuk Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sendiri, selain Yang Amat Berbahagia Tun Khalil Yaakub, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Yang Berbahagia Tan Sri Sidek Hassan. -KESULTANAN PAHANG






