CAMERON HIGHLANDS, 11 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah menegaskan tidak mahu melihat penerokaan haram berlaku di negeri ini khususnya di Cameron Highlands.
Paduka Baginda bertitah, besar harapan agar tiada lagi kawasan-kawasan yang dibuka sewenang-wenangnya, bukit-bukit yang cantik ini ditarah tanpa ambil kira ketinggian bukit atau cerun bukit dengan sewenang wenangnya.
“Kita perlu mulakan prosedur dan protokol yang baharu, saya seru supaya semua ambil tahu hal ini. Saya dah maklum pada Kerajaan Negeri dan Exco supaya ambil tahu hal ini secara mendalam supaya jadikan ini satu ‘benchmark’ kepada projek-projek akan datang.
“Kita tidak mahu lagi lihat bukit dipotong sewenang-wenangnya dan tanpa peraturan yang sebenarnya, dan tuan projek berkenaan mesti bertanggungjawab pada bukit-bukit atau tanah tanah yang dipotong,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Sustainable Modern Agriculture Cameron Highlands (SMACH) Agropark Fasa 1 di Tringkap, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Paduka Baginda bertitah usaha yang dilakukan adalah untuk rakyat memahami hasrat, misi dan visi Paduka Baginda berhubung dengan soal pertanian dan keterjaminan makanan.
“Ini menunjukkan betapa minat dan kesungguhan saya terhadap kawasan Cameron Highlands khususnya.
Pagi tadi saya terbang dari KL ke sini dan menyeberangi Lembah Bertam seperti mana saya nyatakan tempoh hari, Lembah Bertam bukan seperti dahulu lagi, sekarang dah jadi lembah plastik dan saya mungkin nak tukar nama kerana plastik terlampau banyak sangat dan langsung tidak menggambarkan kecantikan Lembah Bertam yang sebenarnya seperti di zaman dahulu.
“Nasi dah jadi bubur, kita tak nak menunding jari..semua pihak perlu bertanggungjawab dan dengan adanya projek ini saya akan beri tumpuan khusus projek ini (SMACH) dan saya berterima kasih kepada pihak kerajaan, pihak pejabat daerah dan tanah serta Majlis Daerah (Cameron Highlands) kerana berjaya meluluskan projek ini dalam tempoh masa dua tahun.,” titah Paduka Baginda.
Tegas Paduka Baginda, walaupun kelulusan mengambil satu tempoh masa yang mungkin agak lama namun ia mengikut peraturan yang diperuntukkan.
“Don’t cut corners, when it comes to approval (bila melibatkan kelulusan) kawasan-kawasan tinggi seperti di Cameron Highlands.
Saya tidak mahu adanya projek-projek akan datang diluluskan sewenang-wenangnya,” tegas Paduka Baginda.
Sementara itu Paduka Baginda bertitah, projek SMACH Agropark turut menekankan enam aspek utama yang boleh dijadikan panduan dalam pembangunan pertanian pada masa depan.
“Aspek berkenaan merangkumi penggunaan teknologi moden termasuk pertanian pintar (smart farming), kedua adalah amalan pertanian lestari, penggunaan baja organik dan kawalan perosak biologi.
” Ketiga adalah pemantauan alam sekitar, zon pertanian terkawal dan kawalan terhadap pembukaan tanah serta bukit manakala keempat ialah latihan dan pendidikan kepada petani.
” Kelima ialah pengurusan sisa pertanian yang cekap dan yang keenam sudah tentu sokongan kerajaan negeri dan pusat bagi membantu petani,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG