KUANTAN, 30 April 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat ke Majlis Menempah Bidan di Istana Abdulaziz, hari ini.
Pada majlis tersebut, Paduka Baginda berdua turut berkenan menyaksikan beberapa istiadat simbolik serta adat yang berkaitan, termasuk penyediaan kelengkapan tradisional yang digunakan dalam amalan penjagaan ibu hamil.
Turut mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama ahli-ahli Kerabat Diraja Pahang yang lain.
Majlis berkenaan diadakan sempena menzahirkan adat istiadat Melayu bagi menyambut kelahiran zuriat Diraja sebagai tanda doa dan harapan agar segala urusan dipermudahkan serta dikurniakan kesejahteraan buat ibu dan anak yang bakal dilahirkan.
Majlis Menempah Bidan juga merupakan antara adat tradisi Melayu yang diwarisi turun-temurun dalam kalangan institusi Diraja, yang melambangkan persediaan awal serta kepentingan penjagaan rapi terhadap ibu mengandung menjelang saat kelahiran. -KESULTANAN PAHANG
——-







