KUANTAN, 24 Januari 2026 -Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan kebimbangan berkaitan isu pemberian taraf penduduk tetap (PR) dan kewarganegaraan.
Paduka Baginda Tuanku bertitah perkara berkenaan bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi menyentuh amanah, integriti, keadilan dan maruah sebuah bangsa berdaulat dengan pemberian keistimewaan berkenaan bukanlah urusan kecil yang boleh dilayan sambil lewa.
“Kewarganegaraan bukan hanya sekeping dokumen dan sekadar pengiktirafan undang-undang, ia adalah ikrar kesetiaan, sumpah setia kepada raja dan tanah air.
“Kewarganegaraan juga bukan ganjaran yang boleh dijual beli, bukan hadiah kuasa dan bukan tiket mudah untuk memasuki pangkuan watan, ia adalah lambang kepercayaan tertinggi negara kepada seseorang.
“Jadi, saya ingin mengingatkan kepada semua yang bertanggungjawab, ketegasan dalam perkara ini bukanlah kezaliman tetapi benteng kedaulatan negara. Jika pintu kerakyatan dibuka tanpa tapisan yang adil dan berintegriti, maka runtuhlah kepercayaan rakyat dan lunturlah maruah negara di mata dunia,” titah baginda.
Paduka Baginda Tuanku bertitah demikian pada Program Wacana Belia Diraja 2026 “Titah Diraja, Amanah Belia: Membina Masa Depan Pahang Berdaulat” di sini hari ini.
Turut berangkat, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Paduka Baginda Tuanku menegaskan bahawa kedaulatan negara tidak boleh dikompromi atas alasan pelaburan, tekanan politik atau keuntungan sementara, malah maruah bangsa bukan untuk dijual dan kedaulatan negara bukan untuk digadai.
Sementara itu, dalam menyentuh aspek kesetiaan kepada raja dan negara sebagai asas kepada kestabilan, Paduka Bagindan Tuanku menyeru supaya golongan muda bersuara serta menegur dengan hikmah dan tertib berasaskan fakta sebenar.
“Jika mahu mengubah, ubahlah dengan ilmu dan akhlak, bukan amarah serta caci. Sesungguhnya, kesetiaan kepada raja dan negara ialah asas kestabilan nasional, tanpanya kebebasan bertukar menjadi kebiadaban dan keberanian berubah kepada keangkuhan,” titah baginda.- KESULTANAN PAHANG







