KUANTAN, 8 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang terus komited memperkasakan sektor pendidikan di negeri Pahang.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang, Yayasan Pahang serta semua pihak yang terus berusaha memperkukuh sektor pendidikan menerusi pelbagai inisiatif demi manfaat anak-anak Pahang.
“Alhamdulillah, saya begitu bangga apabila negeri kita berjaya mencatatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 baru-baru ini,” titah Paduka Baginda.
Menurut Paduka Baginda, Pahang berjaya muncul sebagai negeri kedua terbaik di peringkat nasional dengan mencatat Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.08.
Paduka Baginda turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian institusi pendidikan agama negeri apabila Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang menduduki tempat pertama di peringkat kebangsaan manakala Maahad Tahfiz Negeri Pahang terus mengekalkan kecemerlangan sebagai institusi keempat terbaik negara.
“Tahniah, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan. Kekalkan momentum ini,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut berharap kecemerlangan sektor pendidikan negeri akan terus diperkasakan bagi melahirkan generasi muda yang berkualiti, berilmu dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan. -KESULTANAN PAHANG







