CAMERON HIGHLANDS, 9 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Sekolah Rendah Agama Islam Negeri Pahang (SRAIN) Cameron Highlands di Golden Hills hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 10 pagi disambut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, YH Tok Muda Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab. Rahman dan Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar Nordin.
Seusai ketibaan, Paduka Baginda berkenan mendengar persembahan taklimat berkenaan SRAIN yang merupakan sekolah rendah agama pertama yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
Sekolah ini menempatkan seramai 14 orang pelajar Tahun Satu di bawah bimbingan tujuh orang guru dan telah memulakan sesi persekolahan mereka di bangunan sementara yang disewa di Golden Hill, di sini.
Kurikulum yang dilaksanakan di sekolah ini merangkumi mata pelajaran akademik, agama, bahasa Arab serta hafazan al-Quran secara bersepadu selaras dengan kurikulum yang diperakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Pada majlis sama Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan pelancaran lencana sekolah berkenaan dan menyaksikan penyerahan cek cura oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Bank Rakyat dan Syarikat GNIUS. -KESULTANAN PAHANG








