SIEM REAP, 18 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat menyertai program Olave Baden-Powell Society (OB-PS) Event yang berlangsung bersempena Persidangan Dunia Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) Ke-39 di Siem Reap, Kemboja.
Program berkenaan menghimpunkan para pemimpin, penyokong dan delegasi WAGGGS dari seluruh dunia dalam satu platform yang menekankan perkongsian idea, pembelajaran serta pengukuhan jaringan kerjasama antarabangsa.
Sepanjang program berlangsung, para peserta berpeluang menghadiri sesi pleno bersama Persidangan Dunia WAGGGS bagi mendalami pelbagai inisiatif dan usaha yang dilaksanakan oleh pertubuhan itu dalam memperkasa golongan wanita dan belia di peringkat global.
Turut diadakan ialah Cambodia Night, yang memberi peluang kepada para peserta mengenali dengan lebih dekat budaya, warisan dan keunikan negara tuan rumah, manakala International Night pula menampilkan penyertaan pelbagai negara yang berkongsi tradisi serta kebudayaan masing-masing.
Program tersebut turut diserikan dengan kehadiran penceramah jemputan terkemuka yang berkongsi pandangan dan pengalaman bagi memberi inspirasi kepada para peserta, selain penganjuran bengkel interaktif yang memberi pendedahan mendalam mengenai peranan dan impak WAGGGS di seluruh dunia.
Penganjuran program yang menggabungkan acara OB-PS dan Persidangan Dunia WAGGGS itu menjadi platform penting dalam memperkukuh komitmen bersama ke arah melahirkan generasi wanita muda yang berdaya saing, berwibawa dan mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha memperkasakan kepimpinan wanita dan pembangunan belia di peringkat antarabangsa, selaras dengan aspirasi WAGGGS yang mengangkat tema “We See. We Care. We Act. -KESULTANAN PAHANG







