KUANTAN, 31 Julai 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menzahirkan ucapan takziah serta berkenan mengurniakan sumbangan peribadi kepada keluarga Allahyarham Sarjan Udara Nur’Arif bin Sukri yang meninggal dunia secara mengejut di kediamannya, semalam.
Sumbangan peribadi daripada Paduka Baginda telah disampaikan oleh Pengelola Bijaya Diraja, Mejar Jeneral Dato’ Mohamed Zahari bin Dato’ Haji Yahya TUDM kepada balu Allahyarham sejurus selesai istiadat pengebumian yang dilaksanakan mengikut istiadat ketenteraan di Tanah Perkuburan Islam Batu 12, di sini.
Allahyarham Sarjan Udara Nur’Arif meninggalkan seorang balu, Puan Aidah Azarina binti Zainuddin serta tiga orang cahaya mata yang masih kecil.
Pemergian Allahyarham bukan sahaja merupakan kehilangan besar kepada keluarga, malah turut dirasai seluruh warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang kehilangan seorang anggota yang berdedikasi dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Semoga juga keluarga yang ditinggalkan dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini. – KESULTANAN PAHANG





