KUANTAN, 12 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan menerima mengadap wakil Roboticist, jenama di bawah Robotics Learning (M) Sdn Bhd, yang diasaskan oleh dua beradik, Ilylia Diyana Kamaruzaman dan Nabila Liyana Kamaruzaman, bersama pasukan Malaysia FIRST Global Challenge dari Sekolah Menengah Agama Al-Maarif (ALMISS), Pahang.
Pasukan ALMISS yang dibimbing Puan Wan Nor Suzihana bersama jurulatih Roboticist mencipta pencapaian membanggakan apabila muncul sebagai pasukan pertama dari Pahang mewakili Malaysia ke pertandingan FIRST Global Challenge, selepas berjaya memenangi perlawanan dalam 2025 Malaysia FIRST Global Challenge.
Penyertaan tersebut merupakan pengalaman pertama pasukan ALMISS dalam pertandingan FIRST Global Challenge dan juga pengalaman mereka mendalami bidang robotik, sekali gus membuktikan potensi pelajar Pahang dalam bidang STEM dan robotik di peringkat antarabangsa.
Pasukan berkenaan dianggotai Farid Zakwan selaku ketua pasukan dan pengatur cara; Umar Nazmi sebagai pembina robot dan pakar strategi perlawanan; pasangan kembar Wan Nur Eisya dan Wan Nur Faieqa yang membantu pembinaan robot, dokumentasi serta sebagai duta pasukan; serta Danish Zakwan yang bertanggungjawab dalam penyediaan dan penyuntingan media pasukan serta sebagai ‘Human Player’ ketika pertandingan.
Kebawah Duli Paduka Baginda menzahirkan harapan agar pencapaian tersebut menjadi pembakar semangat kepada pasukan ALMISS untuk terus berusaha meningkatkan kemahiran, memperluas pengetahuan dalam bidang STEM dan robotik serta mencapai kejayaan lebih cemerlang pada pertandingan di peringkat antarabangsa.
Paduka Baginda turut berharap kejayaan berkenaan dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai pelajar di Pahang untuk menceburi bidang STEM, sekali gus melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan mampu mengharumkan nama negeri serta negara. – KESULTANAN PAHANG






