ALOR SETAR, 16 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah mengingatkan para graduan supaya sentiasa menjaga nama baik dan maruah diri, keluarga, TUDM serta negara dalam apa jua bidang yang diceburi.
Paduka Baginda bertitah, kejayaan memperoleh Sayap Penerbangan merupakan permulaan kepada satu amanah dan tanggungjawab yang lebih besar untuk terus meningkatkan ilmu, kemahiran, disiplin serta integriti demi memberikan khidmat terbaik kepada negara.
“Jagalah nama baik ibu bapa dan keluarga, jagalah nama baik TUDM dan angkatan tentera, dan yang paling penting, jagalah nama baik bangsa, agama dan negara. Syabas semuanya,” titah Paduka Baginda.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pengurniaan Sayap Penerbangan di Padang Kawad, Kolej Tentera Udara, Alor Setar, Kedah, semalam.
Istiadat berkenaan turut menjadi detik bermakna buat Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang apabila Baginda menerima Sayap Penerbangan sebagai pengiktirafan terhadap kecekapan dan kemahiran yang dicapai sepanjang mengikuti Kursus Asas Penerbangan Helikopter.
Dalam pada itu Paduka Baginda menzahirkan rasa bangga dapat berangkat ke Istiadat Perbarisan Pengurniaan Sayap Penerbangan yang disifatkan sebagai satu detik penting dalam perjalanan kerjaya para pegawai muda dan graduan yang baru menamatkan latihan penerbangan.
Paduka Baginda bertitah, istiadat berkenaan bukan sahaja menjadi simbol pengiktirafan terhadap kecekapan dan kemahiran yang dicapai para graduan, malah menandakan bermulanya satu perjalanan baharu yang menuntut komitmen, disiplin dan tanggungjawab yang lebih besar.
“Bagi saya, ini merupakan satu kebanggaan dapat hadir buat pertama kali ke acara TUDM seperti ini. Di sinilah para pegawai muda menerima latihan asas, membina disiplin serta memulakan langkah pertama dalam kerjaya sebagai juruterbang dan pegawai TUDM.
“Dari sinilah bermulanya perjalanan mereka, dan sebahagian daripada mereka kelak akan memegang tanggungjawab yang lebih besar, termasuk sebagai Panglima Tentera Udara (PTU), Panglima Angkatan Tentera (PAT), selain ada yang meneruskan kerjaya sebagai juruterbang dalam industri penerbangan awam, sama ada di dalam mahupun luar negara,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut mengingatkan para graduan agar tidak mudah berasa selesa dengan pencapaian yang telah diraih, sebaliknya terus berusaha menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan memperkukuh jati diri sepanjang menjalani kehidupan serta kerjaya.
“Dunia penerbangan menuntut ketelitian, keberanian, disiplin dan keupayaan membuat keputusan yang tepat. Justeru, nilai-nilai tersebut hendaklah sentiasa dipelihara dan dijadikan pegangan sepanjang menjalani kehidupan dan kerjaya.
“Jangan mudah berasa selesa dengan apa yang telah dicapai. Teruskan belajar, teruskan meningkatkan kemahiran dan sentiasa bersedia untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar pada masa hadapan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar para graduan yang menerima Sayap Penerbangan pada hari berkenaan dapat menggunakan ilmu dan pengalaman yang diperoleh untuk memberikan perkhidmatan terbaik serta mengharumkan nama pasukan dan negara.
“Saya berharap para graduan akan terus mengharumkan nama TUDM dan Malaysia serta menjadi contoh dan inspirasi kepada generasi muda pada masa hadapan.
“Jadikanlah kejayaan hari ini sebagai pembakar semangat untuk terus maju dan berjaya. Di mana sahaja awak semua berada dan dalam apa juga bidang yang diceburi, bawalah bersama disiplin, integriti dan semangat untuk berbakti kepada negara,” titah Paduka Baginda. – KESULTANAN PAHANG
————







