KUANTAN, 16 Ogos 2026 – Warga Majlis Kesultanan Pahang (MKP) merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang atas kejayaan menamatkan Kursus Asas Penerbangan Helikopter dan seterusnya menerima Sayap Penerbangan dalam Istiadat Perbarisan Pengurniaan Sayap Penerbangan yang disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, semalam.
Istiadat bersejarah itu berlangsung di Padang Kawada Kolej Tentera Udara Alor Setar, Kedah sebagai pengiktirafan terhadap kecekapan, kemahiran serta tahap profesionalisme yang telah dicapai Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang sepanjang mengikuti latihan penerbangan tersebut.
Kejayaan menamatkan latihan penerbangan dan menerima Sayap Penerbangan merupakan satu detik yang amat bermakna serta membanggakan, bukan sahaja buat Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, malah turut menjadi kebanggaan seluruh rakyat dan warga Pahang.
Warga MKP turut menzahirkan rasa bangga atas pencapaian tersebut yang memperlihatkan kesungguhan, disiplin, ketekunan serta komitmen tinggi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang dalam mendalami ilmu dan kemahiran penerbangan, khususnya dalam pengendalian helikopter.
Pencapaian berkenaan juga menjadi manifestasi keazaman Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang untuk terus memperkasa diri dengan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran baharu, selaras dengan tanggungjawab serta peranan Baginda sebagai pewaris takhta Kesultanan Pahang.
Warga MKP mendoakan semoga Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang sentiasa dikurniakan kesihatan, keselamatan, kekuatan dan keberkatan dalam setiap langkah serta terus cemerlang dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada negeri Pahang Darul Makmur dan negara.
Merafak sembah setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang atas pengurniaan Sayap Penerbangan. Semoga pencapaian ini menjadi satu lagi lembaran kejayaan yang membanggakan dalam perjalanan Kebawah Duli Paduka Mulia sebagai pewaris takhta Kesultanan Pahang. – KESULTANAN PAHANG







