ROMPIN, 18 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke Program Kenduri Rakyat Sempena Hari Orang Asli 2026 di Padang Awam Kampung Sungai Mok, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Turut hadir ialah YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Sri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi; Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Hajah Rubiah Haji Wang serta YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail.
Pada program berkenaan, Paduka Baginda berkenan melawat Perkampungan Budaya dan Reruai Pameran yang mengetengahkan kebudayaan, warisan serta kehidupan masyarakat Orang Asli.
Keberangkatan Paduka Baginda kemudiannya diserikan dengan persembahan Sewang oleh Kumpulan Sri Alanlm dengan iringan centung.
Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan persembahan kebudayaan masyarakat Orang Asli yang menjadi antara pengisian utama program berkenaan, sekali gus mencerminkan keunikan adat, seni dan warisan masyarakat Orang Asli yang terus dipelihara.
Program Kenduri Rakyat berkenaan turut menjadi wadah memperkukuh hubungan antara masyarakat Orang Asli dengan pihak kerajaan serta meraikan kepelbagaian budaya dan warisan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Keberangkatan Paduka Baginda ke program berkenaan turut mencerminkan keprihatinan serta komitmen berterusan Baginda terhadap kebajikan, kepentingan dan masa depan masyarakat Orang Asli di Pahang.
Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan titah dan amanat kepada masyarakat Orang Asli, khususnya berhubung isu hak serta status tanah, selain menyeru semua pihak supaya sentiasa berpegang kepada undang-undang dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat berkenaan. -KESULTANAN PAHANG








