ROMPIN, 18 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menitahkan supaya proses pengukuran, persempadanan dan pengwartaan kawasan Orang Asli di negeri ini dipercepatkan bagi memastikan kawasan yang diperuntukkan kepada masyarakat berkenaan benar-benar terpelihara.
Ia turut berkaitan status Kampung Orang Asli (KOA) di Pahang di mana Paduka Baginda dimaklumkan terdapat sebanyak 264 KOA di seluruh negeri ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30 kawasan Orang Asli telah selesai diwartakan, manakala 16 kawasan Orang Asli telah diberikan hak milik tanah, menjadikan keseluruhannya 46 KOA telah mempunyai penyelesaian status tanah.
Daripada baki 218 KOA, sebanyak 75 permohonan sedang diproses oleh Pejabat Daerah dan Tanah, manakala 31 permohonan telah teratur untuk dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK).
Sebanyak 44 KOA pula mempunyai pertindihan status tanah, antaranya melibatkan Hutan Simpanan Kekal, Tanah Rizab Melayu dan Tanah Milik, manakala 143 KOA masih belum diterima permohonan.
Sehubungan itu, Paduka Baginda menitahkan supaya perkara berkenaan diperhalusi dan sebarang permasalahan atau halangan undang-undang dikenal pasti serta dicari kaedah penyelesaiannya.
“Saya mahu perkara ini diperhalusi. Jika ada masalah, nyatakan masalahnya. Jika ada halangan undang-undang, cari kaedah penyelesaiannya.
“Jangan dibiarkan orang kita menunggu tanpa kepastian,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menitahkan supaya setiap kampung dan kawasan Orang Asli dikenal pasti status tanahnya satu persatu sebelum kaedah penyelesaian yang bersesuaian dan sah di sisi undang-undang ditentukan.
Menurut Paduka Baginda, pendekatan penyelesaian tidak boleh diseragamkan bagi semua kawasan memandangkan keadaan dan latar belakang setiap penempatan Orang Asli adalah berbeza.
“Jangan gunakan satu kaedah yang sama untuk semua kawasan kerana keadaan setiap penempatan adalah sangat berbeza.
“Persempadanan hendaklah jelas, kawasan penempatan dan pertanian yang benar-benar digunakan oleh masyarakat Orang Asli perlu dikenal pasti dan dilindungi,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menegaskan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), dengan dibantu Kerajaan Negeri Pahang serta agensi berkaitan, perlu memastikan hak dan kebajikan masyarakat Orang Asli terus diberi perhatian sewajarnya.
“Jangan dibiarkan mereka terpinggir, jangan dibiarkan mereka hidup susah, dan jangan hanya datang apabila timbul pertikaian mengenai tanah,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda menegaskan bahawa hak masyarakat Orang Asli yang sah akan terus dipertahankan, manakala kebajikan mereka akan sentiasa dipelihara.
Bagaimanapun, Paduka Baginda bertitah, sebarang pencerobohan, peluasan kawasan tanpa kebenaran atau tuntutan yang tidak berlandaskan undang-undang tidak boleh dikompromi.
“Hak Orang Asli yang sah, kita akan pertahankan. Kebajikan mereka, kita akan sentiasa pelihara.
“Tetapi apabila pencerobohan berlaku, peluasan kawasan tanpa kebenaran atau tuntutan yang tidak berlandaskan undang-undang, kita tidak boleh berkompromi,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda pada masa sama menasihatkan masyarakat Orang Asli supaya menggunakan saluran permohonan yang sah melalui JAKOA atau agensi kerajaan berkaitan dalam memperjuangkan hak mereka.
“Biarlah ikut berlandaskan kepada undang-undang. Gunakan proses permohonan yang sah melalui JAKOA, agensi kerajaan yang sah dan sebagainya.
“Jangan cepat nak pergi memburuk, memfitnah mana-mana pihak,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan komitmen untuk terus memantau dan memberi perhatian sewajarnya terhadap kepentingan serta kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri ini.
“Saya akan terus memantau, memberi perhatian yang sewajarnya kepada kaum orang-orang kita di Negeri Pahang,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG







