KUANTAN, 24 Ogos 2026 – Temasya Warisan Pahang 2026 bakal menghidupkan suasana warisan, seni dan budaya negeri Pahang menerusi pelbagai program menarik yang berlangsung selama sepuluh hari bermula 29 Ogos hingga 7 September 2026 di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan.
Penganjuran temasya berkenaan menjadi wadah untuk mengangkat khazanah warisan Pahang ke tahap lebih tinggi, selain memperkenalkan kepelbagaian seni, budaya dan tradisi negeri kepada masyarakat khususnya generasi muda.
Pelbagai pengisian berteraskan warisan Pahang disediakan sepanjang temasya, merangkumi seni kraf, masakan tradisional, muzik dan persembahan kebudayaan, seni visual serta tenunan, di samping wacana berkaitan usaha memelihara, memperkasa dan melestarikan warisan untuk generasi akan datang.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang bertitah, penganjuran Temasya Warisan Pahang amat penting bagi memastikan warisan negeri terus dihargai, dipelihara dan diwariskan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
“Lebih istimewa, temasya tahun ini truut menyaksikan penyertaan benua Afrika dan Jepun yang akan berkongsi seni kraf serta warisan masing-masing bersama masyarakat tempatan.
“Bagi saya, ini satu penghormatan yang besar kepada negeri Pahang kerana mereka memilih Pahang untuk menunjukkan warisan yang mereka ada. Saya harap semua rakyat datang dan bersama-sama meraikan warisan kita,” titah Paduka Baginda dalam sidang media berkaitan penganjuran Temasya Warisan Pahang di MOCA, hari ini.
Dalam pada itu Paduka Baginda bertitah, perkongsian warisan antara negara dan benua juga membuka ruang kepada masyarakat untuk saling belajar mengenai persamaan serta keunikan seni kraf yang berkembang hasil pertukaran budaya dan hubungan maritim sejak dahulu.
“Kolaborasi ini banyak yang kita boleh belajar daripada mereka dan mereka juga boleh belajar daripada kita. Di seluruh dunia ada tenunan, batik, tikar dan pelbagai lagi warisan, cuma bentuk dan rekaannya berbeza mengikut tempat,” titah Paduka Baginda.
Sementara itu, Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar Temasya Warisan Pahang terus menjadi platform meningkatkan kualiti dan reka bentuk hasil seni warisan, khususnya Tenun Pahang Diraja, tanpa menghilangkan identiti tradisionalnya.
“Apabila kita mengadakan pertandingan Tenun Pahang Diraja setiap tahun, kita mahu meningkatkan kualiti dan reka bentuk. Peserta boleh mendapat idea baharu, tetapi reka bentuk tradisional Tenun Pahang tetap perlu dipelihara,” titah Paduka Baginda.
Dalam aspek makanan warisan pula, Paduka Baginda bertitah bahawa setiap daerah di Pahang mempunyai keunikan masakan tersendiri yang turut dipengaruhi oleh kedudukan geografi serta hubungan dengan negeri-negeri bersempadan.
Demonstrasi masakan tradisional dari setiap daerah akan diadakan sepanjang temasya, selain demonstrasi istimewa masakan oleh Paduka Baginda sendiri.
Paduka Baginda turut menyeru masyarakat, khususnya rakyat Pahang, supaya hadir beramai-ramai memeriahkan temasya berkenaan dan bersama-sama menghayati kekayaan warisan negeri.
“Saya harap lebih ramai orang Pahang datang dan bersama-sama kita meraikan warisan kita. Tolong hebahkan supaya lebih ramai datang kerana banyak acara yang akan berlangsung di sini,” titah Paduka Baginda.
Sementara itu, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Ketua Juri Piala Tengku Azizah dan Piala Tengku Puteri Jihan berkata, proses penilaian dan pemilihan penyertaan bagi pertandingan tahun ini bukan sesuatu yang mudah berikutan hasil karya yang dipersembahkan peserta begitu menarik dan berkualiti.
Menurut YAM Tengku Puteri Jihan, perkembangan seni tenunan dalam kalangan generasi muda turut menunjukkan kecenderungan terhadap gaya rekaan dan idea yang lebih moden serta kontemporari, namun elemen tradisional tetap menjadi asas penting bagi memastikan identiti Tenun Pahang Diraja terus dipelihara.
Antara pengisian utama sepanjang temasya ialah jualan dan demonstrasi kraf, bengkel kraf, demonstrasi masakan warisan setiap daerah, pertandingan melukis, fotografi DSLR dan mobilgrafi, arca serta pelbagai persembahan kebudayaan.
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan Sewang Orang Asli, muzik tradisional Orang Asli, Gamelan Pahang, kumpulan muzik asli Gemalasari Kuantan, Briged Budaya Majlis Bandaraya Kuantan serta persembahan busker.
Temasya turut menampilkan beberapa program wacana dan bicara seperti Wacana Kemerdekaan, Dialog bersama Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang bertajuk “Warisan dan Kemerdekaan”, Bicara Tenun serta Program Wacana Kraf “Memperkasa Seni, Melestarikan Warisan”.
Kemuncak acara dijadualkan pada malam 5 September menerusi Majlis Jamuan Diraja dan Penyampaian Hadiah Piala Tengku Azizah – Pertandingan Tenun Pahang Diraja 2026 yang turut diserikan dengan persembahan kebudayaan ASEAN dan Afrika.
Temasya Warisan Pahang 2026 diharap terus menjadi wadah memperkasa, memelihara dan melestarikan khazanah warisan Pahang, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya generasi muda terhadap kepentingan menghargai seni, budaya, adat dan tradisi yang menjadi identiti negeri.
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke Temasya Warisan Pahang 2026 bermula 29 Ogos hingga 7 September 2026 di MOCA, Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. – KESULTANAN PAHANG








