KUANTAN, 1 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Tuan Ahmad Sazilee Abdul Khairi sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang yang baharu pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, di sini hari ini.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan Ikrar Taat Setia oleh Tuan Ahmad Sazilee yang kemudiannya mengangkat sumpah jawatan sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang.
Tuan Ahmad Sazilee dilantik menggantikan YH Dato’ Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi yang bersara selepas menabur bakti dalam perkhidmatan awam.
Pelantikan berkenaan merupakan satu amanah dan tanggungjawab besar dalam memastikan segala urusan perundangan serta pentadbiran Kerajaan Negeri Pahang terus dilaksanakan dengan berkesan, penuh integriti, berlandaskan undang-undang dan menjunjung prinsip keadilan. – KESULTANAN PAHANG








