KUANTAN, 3 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang hari ini berkenan bercemar duli memasak bubur lambuk di perkarangan Masjid Negeri Pahang Sultan Ahmad 1, di sini.
Paduka Baginda berangkat tiba pada pukul 12 tengah hari sebelum berkenan memasak dua periuk besar bubur lambuk bersama kakitangan Masjid Negeri Pahang dan Muzium Pahang.
Dua periuk besar berkenaan berjaya menghasilkan kira-kira 2,000 bekas bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai yang hadir.
Aktiviti memasak bubur lambuk itu merupakan antara pengisian Temasya Warisan Pahang 2026, yang bukan sahaja mengetengahkan kepelbagaian seni dan budaya negeri, malah turut mengangkat warisan makanan tradisional sebagai sebahagian daripada identiti masyarakat Pahang.
Penglibatan Paduka Baginda dalam aktiviti berkenaan turut memperlihatkan keprihatinan serta sokongan jitu Paduka Baginda terhadap usaha memelihara dan menyemarakkan warisan kulinari tradisional, di samping menggalakkan penghayatan generasi muda terhadap khazanah budaya yang diwarisi sejak turun-temurun.
Pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai turut menyemarakkan semangat kebersamaan dan mengeratkan hubungan antara masyarakat, selaras dengan hasrat Temasya Warisan Pahang 2026 untuk mendekatkan warisan negeri dengan rakyat. – KESULTANAN PAHANG







