KUANTAN, 4 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang hari ini berkenan bercemar duli membuat demonstrasi memasak empat menu tradisional sempena Temasya Warisan Pahang 2026 yang berlangsung di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, di sini.
Dalam demonstrasi tersebut, Paduka Baginda memasak empat hidangan iaitu ikan bilis masak kicap, ikan bilis masak asam, sup betik serta nangka masak lemak, sekali gus memperlihatkan keunikan serta kepelbagaian masakan tradisional yang menjadi sebahagian daripada khazanah warisan negeri Pahang.
Demonstrasi memasak itu turut mendapat perhatian pengunjung yang hadir menyaksikan secara dekat kemahiran Paduka Baginda dalam menyediakan hidangan tradisional, di samping menghayati usaha memartabatkan seni masakan warisan sebagai salah satu identiti dan khazanah budaya Pahang.
Pengunjung turut dapat merasa air tangan Paduka Baginda yang begitu istimewa dan sememangnya terkenal dengan kemahiran memasak pelbagai menu dari istana.
Temasya Warisan Pahang 2026 yang berlangsung sehingga 7 September ini menampilkan pelbagai pengisian berkaitan warisan, seni, kraf, masakan tradisional dan kebudayaan negeri Pahang. – KESULTANAN PAHANG








