PEKAN, 11 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang hari ini berkenan berangkat menyaksikan dua perlawanan polo sempena Royal Pahang Classic Centenary Cup 2026 yang berlangsung di Royal Pahang Polo Club, di sini.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Perlawanan pertama menyaksikan Brunei Polo menentang La Sarita Kelantan, dalam aksi yang berakhir dengan keputusan Brunei Polo muncul pemenang menerusi keputusan jaringan 9-7.
Pasukan Brunei Polo turut menampilkan pemain kerabat diraja Brunei iaitu Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Bahar Jefri Bolkiah sekaligus menambahkan lagi kemeriahan perlawanan petang tadi yang berlangsung dalam suasana penuh tradisi, persaingan dan keanggunan sukan polo.
Perlawanan kedua menyaksikan Royal Pahang II menentang Citaglobal Windhorse di mana Royal Pahang II yang turut diwakili YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah mencatat kemenangan bergaya ke atas Citaglobal Windhorse dengan mata jaringan 8-3½.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menyaksikan kejohanan berkenaan mencerminkan sokongan berterusan Institusi Diraja Pahang terhadap pembangunan serta pemerkasaan sukan polo, di samping mengukuhkan hubungan persahabatan melalui sukan.
Royal Pahang Classic Centenary Cup 2026 dianjurkan bersempena sambutan 100 tahun penubuhan Royal Pahang Polo Club, yang merupakan antara kelab polo bersejarah di negara ini. – KESULTANAN PAHANG







