PEKAN, 14 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang hari ini berkenan berangkat ke Royal Pahang Polo Club dan menyertai perlawanan polo yang berlangsung sempena Royal Pahang Classic Centenary Cup 2026 dan Tengku Ampuan Pahang Cup 2026, semalam.
Turut berangkat mengiringi ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang.
Pada perlawanan hari ini, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan beraksi mewakili pasukan Pekan dalam perlawanan pembukaan Tengku Ampuan Pahang Cup 2026 menentang Cameron Highlands.
Dalam aksi tersebut, Paduka Baginda menyumbang dua jaringan bagi membantu pasukan Pekan mencatat kemenangan 6-3 ke atas pasukan Cameron Highlands.
Turut beraksi dalam perlawanan berkenaan ialah YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah yang mewakili pasukan Cameron Highlands.
Sementara itu, bagi aksi Royal Pahang Classic Centenary Cup 2026, pasukan Sri Bendahara yang turut menampilkan YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah mencatat kemenangan 10-6½ ke atas Selangor Polo.
Paduka Baginda berdua turut berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama para pemain dan tetamu yang hadir, selain memberikan sokongan kepada pasukan-pasukan yang mengambil bahagian.
Kejohanan yang berlangsung di Royal Pahang Polo Club itu menampilkan aksi kompetitif pasukan-pasukan polo dari dalam dan luar Pahang, selain menjadi wadah dalam memperkukuh hubungan persahabatan melalui sukan.
Royal Pahang Classic Centenary Cup 2026 dianjurkan bersempena sambutan 100 tahun penubuhan Royal Pahang Polo Club, manakala Tengku Ampuan Pahang Cup 2026 merupakan antara kejohanan polo yang menghimpunkan pasukan-pasukan dari pelbagai daerah di negeri Pahang.— KESULTANAN PAHANG








