GAMBANG, 18 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Gala Dinner Polo yang berlangsung di Gambang, di sini, malam tadi.
Turut berangkat Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Majlis berkenaan diadakan bersempena sambutan 100 tahun penubuhan Royal Pahang Polo Club, sekali gus meraikan perjalanan panjang kelab berkenaan dalam memartabatkan dan mengembangkan sukan polo di Pahang.
Pada majlis tersebut, Kebawah Duli Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan penghargaan dan anugerah kepada individu serta pihak yang telah banyak berjasa dan memberikan sumbangan terhadap pembangunan Royal Pahang Polo Club sehingga berjaya mencapai usia satu abad.
Majlis turut menjadi wadah penghargaan kepada para penyumbang, pemain serta peminat sukan polo dari dalam dan luar negara yang sentiasa memberikan sokongan terhadap perkembangan sukan berkenaan di Pahang.
Sambutan 100 tahun Royal Pahang Polo Club turut mencerminkan kesinambungan tradisi dan kecemerlangan sukan polo yang terus menjadi sebahagian daripada warisan serta identiti sukan diraja di Pahang. – KESULTANAN PAHANG








