ULU TEMBELING, 19 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke Mesyuarat Lembaga Eksekutif Cawangan (LEC) Ke-3 Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang yang berlangsung di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda selaku Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang disambut Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang, Puan Nor Azlina Zainab Abidin serta 42 perwakilan yang hadir.
Paduka Baginda berkenan mempengerusikan mesyuarat yang berlangsung kira-kira lebih dua jam itu dengan mendengar taklimat serta perbincangan mengenai pelbagai perkara berkaitan pengurusan, perancangan serta pelaksanaan aktiviti Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang.
Mesyuarat berkenaan turut menjadi platform untuk memperkukuh perancangan dan hala tuju persatuan dalam memastikan pelbagai program yang dirangka dapat dilaksanakan secara berkesan demi manfaat ahli serta pembangunan gerakan Pandu Puteri di negeri Pahang.
Selesai mesyuarat, Paduka Baginda berkenan berangkat ke jamuan santapan tengah hari dan sesi bergambar sebelum berangkat pulang. – KESULTANAN PAHANG








