KUALA LUMPUR, 20 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli menyempurnakan perasmian Program Dari Mikro ke Kecil yang berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut Pengerusi Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM), Dato’ Fully Chye Goet Lee.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin serta Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Sri Suraini Dato’ Ahmad.
Pada majlis itu, Paduka Baginda berkenan menyaksikan persembahan video montaj sebelum menyempurnakan gimik perasmian serta mengurniakan plak penghargaan kepada para penyumbang dan rakan strategik program.
Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan Penilaian Malaysia Book of Records bagi kategori Biggest Upcycled Tarpaulin Bag, sebelum melawat tapak pameran dan gerai usahawan yang mengambil bahagian.
Sementara itu Paduka Baginda yang juga Penaung Persatuan Seni Jahitan Kreatif Malaysia (PSJKM) bertitah bahawa setiap usaha besar bermula daripada langkah yang kecil, justeru usahawan mikro perlu diberi ruang dan peluang.
“Saya dengan penuh rasa sukacita dapat bersama-sama dalam Program Dari Mikro ke Kecil, satu usaha yang memberi ruang kepada usahawan mikro untuk meningkatkan kemahiran, membina keyakinan dan mengembangkan perniagaan mereka.
“Saya percaya, setiap usaha yang besar bermula daripada langkah yang kecil. Apa yang penting ialah kesungguhan untuk terus belajar, keberanian untuk mencuba dan peluang yang diberikan untuk berkembang maju.
“Dalam masa yang sama, pembangunan usahawan hari ini juga perlu bergerak seiring dengan ekonomi kitaran. Bahan yang dianggap sebagai sisa sebenarnya boleh diberi nilai baharu melalui kreativiti dan inovasi, sekali gus membuka peluang perniagaan serta membantu menjaga alam sekitar,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah, program berkenaan diharap bukan sekadar menyediakan latihan, sebaliknya menjadi jambatan yang membantu usahawan beralih daripada peringkat mikro kepada kecil, daripada kemahiran kepada pendapatan serta daripada sebuah peluang kepada masa depan yang lebih baik.
“Saya berharap program ini bukan sekadar memberi latihan, tetapi menjadi satu jambatan yang membawa usahawan daripada mikro kepada kecil, daripada kemahiran kepada pendapatan, dan daripada sebuah peluang kepada masa depan yang lebih baik.
“Kepada para usahawan, jangan takut untuk bermula kecil. Teruskan berusaha, tingkatkan kualiti dan yakinlah dengan kemampuan diri.
“Semoga lebih ramai usahawan tempatan dapat berkembang, berdikari dan seterusnya turut membuka peluang kepada orang lain.
“Satu langkah kecil mampu membawa perubahan yang besar,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada PSJKM serta semua pihak yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.
Program Micro to Kecil Circular Economy & Sustainability Week 2026 yang berlangsung selama lima hari, dari 16 hingga 20 September, di Pavilion Bukit Jalil, menjadi platform yang menghimpunkan usahawan mikro, penggiat kraf, pengusaha produk buatan tangan serta pengusaha produk lestari.
Program yang menggabungkan elemen keusahawanan, kreativiti, ekonomi kitaran dan kelestarian itu memberi fokus kepada usaha membantu usahawan mikro mengembangkan perniagaan ke peringkat seterusnya sebagai usahawan kecil yang lebih berdaya saing, inovatif dan mampu membina perniagaan secara mampan.
Inisiatif berkenaan turut mengetengahkan penggunaan semula bahan terpakai melalui pendekatan kreatif dan inovatif, sekali gus membuka ruang kepada penghasilan produk bernilai tambah serta mewujudkan peluang ekonomi baharu kepada usahawan tempatan. – KESULTANAN PAHANG









