KUANTAN, 21 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang hari ini berkenan menerima mengadap YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar bersama ketua-ketua jabatan negeri di Pejabat Istana Abdulaziz (IAA), di sini.
Sesi mengadap itu turut disertai Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (PSK), Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Pahang, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Pahang (UPNP) serta Pengarah Pelaburan Negeri Pahang.

Pada sesi berkenaan, Paduka Baginda berkenan menerima persembahan taklimat oleh YB Dato’ Sri Setiausaha Kerajaan Negeri bersama ketua-ketua jabatan berhubung isu dan operasi membanteras kegiatan penerokaan haram di seluruh negeri.
Turut dibincangkan ialah isu berkaitan pendatang asing termasuk masyarakat Rohingya, selain perkembangan pembangunan ekonomi serta pelaburan negeri.

Sesi mengadap berkenaan turut menjadi platform bagi memperkemas penyelarasan antara agensi dan jabatan negeri dalam menangani isu-isu semasa serta memastikan aspek penguatkuasaan, pembangunan dan kepentingan rakyat Pahang terus diberi perhatian. – KESULTANAN PAHANG








