KUANTAN, 12 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan mengurniakan sebuah rumah dan juga bantuan baik pulih rumah kepada tiga mangsa yang terjejas akibat kebakaran di Taman Impian, di sini sebagai tanda keprihatinan Paduka Baginda terhadap nasib rakyat yang ditimpa musibah.
Majlis pengurniaan dihadiri Panglima Wilayah Laut 1, Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang, YH Laksamana Muda Dato’ Azman bin Raban, serta Setiausaha Sulit Khas kepada KDPB Sultan Pahang, Tok Aria Rakna Ahmad Norbadelin Abdul Murad
TLDM bertindak sebagai pelaksana projek pembinaan dan baik pulih rumah kurniaan Paduka Baginda itu, yang menelan kos keseluruhan sebanyak RM200,000 dan berjaya disiapkan dalam tempoh empat minggu.
Tiga penerima kurniaan berkenaan ialah Encik Ngoh Tee Sang yang menerima bantuan bina sebuah rumah ekoran kerosakan seratus peratus manakala rumah sewa diduduki Encik Punitavalli a/p Thyagaraji dan Encik Muhammad Shahrul Azri bin Awang turut siap dibaik pulih.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari pada 21 Februari lalu, rumah yang didiami keluarga terbabit mengalami kerosakan akibat kebakaran, dengan sebuah rumah dilaporkan musnah sepenuhnya manakala dua lagi mengalami kerosakan pada sebahagian struktur.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan dan ketiga-tiga keluarga terlibat terpaksa berpindah ke rumah ahli keluarga masing-masing bagi meneruskan kehidupan sementara waktu.
Kurniaan rumah tersebut mencerminkan keprihatinan Paduka Baginda dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian, khususnya mereka yang berhadapan dengan kesukaran akibat bencana.
Usaha pembinaan dan penyerahan rumah berkenaan juga memperlihatkan kerjasama antara Majlis Kesultanan Pahang dengan TLDM dalam melaksanakan inisiatif kebajikan demi membantu meringankan beban keluarga yang ditimpa musibah. – KESULTANAN PAHANG








