KUANTAN, 15 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang selaku Penaung dan Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang menzahirkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Jennyfer Ellisa Anak Thomas atas kejayaan terpilih mewakili Malaysia dalam Program Kepimpinan dan Kesatuan Global Lima Pusat Dunia Program Bespoke yang akan berlangsung di Our Chalet, Switzerland dari 17 hingga 24 Oktober 2026.
Jennyfer Ellisa yang merupakan Ahli Pandu Puteri Remaja dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kedaik Komprehensif 9, dipilih menyertai program berkenaan yang memberi peluang kepada peserta untuk mengembangkan potensi kepimpinan serta memperluas pengalaman di peringkat antarabangsa.
Kebawah Duli Paduka Baginda menzahirkan rasa bangga atas pencapaian Jennyfer mewakili Malaysia ke Switzerland yang bukan sahaja mengharumkan nama Negeri Pahang, malah membuktikan kemampuan generasi muda negeri ini untuk menyerlah di persada antarabangsa.
Kebawah Duli Paduka Baginda turut berharap agar penyertaan Jennifer Ellisa dalam program berkenaan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menimba ilmu, memperkukuh kemahiran kepimpinan serta menjadi inspirasi kepada ahli Pandu Puteri yang lain. – KESULTANAN PAHANG








