CYBERJAYA, 18 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Tengku Ampuan Pahang berkenan berangkat menyaksikan perlawanan akhir polo ‘𝘊𝘩𝘢𝘳𝘪𝘵𝘺 𝘚𝘩𝘪𝘦𝘭𝘥 𝘗𝘰𝘭𝘰 𝘛𝘰𝘶𝘳𝘯𝘢𝘮𝘦𝘯𝘵, RYT Bank’ antara pasukan Royal Pahang menentang Jogo Polo di Kelab Polo dan Ekuestrian Diraja Selangor (RSPEC) di sini semalam.
Turut berangkat, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor.
Berangkat sama ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor serta Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz.
Pasukan Jogo Polo memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 9 berbalas 7.5.
YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah yang mewakili pasukan Royal Pahang berjaya menghasilkan dua jaringan yang menarik dalam pertandingan tersebut.
Keberangkatan Duli-Duli Tuanku ke kejohanan berkenaan mencerminkan sokongan berterusan dan keprihatinan terhadap perkembangan sukan Polo di negara ini – KESULTANAN PAHANG








