PUTRAJAYA, 20 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Al-Multaqa Al-Omani Kali Ke-2 yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda yang juga Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkenan menyempurnakan perasmian program yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan dan Pengajian Oman (ORSC), UIAM bersempena dengan Persidangan Antarabangsa Oman Kali Ke-10 dan Global Arabic Islamic Annual Festival 2026 (GARIIF 2026) yang berlangsung dari 19 hingga 22 Oktober ini.
Pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Paduka Baginda turut menyaksikan beberapa acara penyampaian dan sumbangan yang melibatkan usaha menyokong penyelidikan, kecemerlangan akademik serta kebajikan pelajar.
Acara penyampaian tersebut merangkumi penyampaian cek replika daripada pihak penaja, Geran Penyelidikan dan Projek Penterjemahan Pusat Penyelidikan dan Pengajian Oman (ORSC), serta Anugerah Kecemerlangan Oman bagi Penyelidikan Terbitan Terbaik yang melalui proses penilaian rakan sebaya berkaitan hal ehwal Oman.
Paduka Baginda turut menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya kepada pelajar kelainan upaya UIAM selain majlis pemeteraian Surat Niat (Letter of Intent – LoI) antara UIAM dengan UNIQSAAS.
Penganjuran program antarabangsa itu bertujuan memperkukuh kerjasama akademik, memupuk persefahaman budaya serta mengeratkan hubungan persahabatan yang sekian lama terjalin antara Malaysia dengan Kesultanan Oman, khususnya melalui pertukaran ilmu, perkongsian kepakaran dan dialog berteraskan nilai-nilai Islam.
Program berkenaan turut menyediakan platform bagi pembentangan penyelidikan, wacana ilmiah dan pertukaran idea merentas disiplin akademik, selain mengetengahkan warisan budaya Oman dan negara-negara peserta menerusi pameran artifak sejarah, manuskrip, barangan tradisional serta hasil kraf tangan.
Pelbagai pengisian turut diadakan, termasuk aktiviti pendidikan, program bahasa Arab, pertandingan pengucapan awam, bengkel dan forum yang bertujuan menggalakkan dialog antara budaya serta melahirkan generasi ilmuwan dan pemimpin masa hadapan.
Turut hadir ialah Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar; Setiausaha Agung Pejabat Mufti Besar Kesultanan Oman, Yang Mulia Sheikh Ahmad bin Saud bin Saeed Al-Siyabi; Duta Besar Kesultanan Oman ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Hatem Hilal Ali Nasser Al Ya’qoubi; Ketua Pejabat Ifta, Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Kesultanan Oman, Dr. As’ad bin Humoud Al-Muqimi serta Pengerusi Lembaga Zakirat Oman merangkap penganjur utama dan rakan kerjasama Multaqa, Sheikh Sultan Al-Shaibani. – KESULTANAN PAHANG







