PEKAN, 21 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat memasyhurkan Dewan Tuanku Canselor, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), di sini hari ini.
Pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Paduka Baginda yang juga Tuanku Canselor UMPSA turut berkenan menerima pelantikan semula Paduka Baginda sebagai Canselor universiti berkenaan. Watikah pelantikan disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir.
Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan bantuan sumbangan kecemerlangan dan pendidikan, Biasiswa Ulul Albab UMPSA serta sumbangan Biasiswa Sulung Khusus untuk anak Pahang.
Pada majlis sama, Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan majlis penyerahan sumbangan berjumlah RM1 juta kepada Tabung Endowmen Tuanku Canselor.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak selaku wakil rasmi Menteri Besar Pahang; Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Sri Mohd. Shahar bin Abdullah dan Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asaari bin Mohamed Nor.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak bin Jaafar serta Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.
Sementara itu, Paduka Baginda menzahirkan rasa sukacita dan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kerja Raya, pihak pengurusan universiti serta semua pihak yang telah mencurahkan tenaga, kepakaran dan kesungguhan dalam merealisasikan pembangunan dewan berkenaan.
“Dewan Tuanku Canselor ini diharap menjadi mercu tanda kecemerlangan UMPSA, bukan sahaja dari segi seni bina malah turut membawa makna dan manfaat besar kepada universiti serta masyarakat.
“Kehebatan sesebuah universiti tidak diukur berdasarkan kemegahan bangunannya semata-mata, sebaliknya pada ketinggian ilmu, kemuliaan akhlak dan mutu insan yang dilahirkannya,” titah Paduka Baginda.
Sebagai Canselor UMPSA, Paduka Baginda berharap dewan berkenaan menjadi saksi kepada kelahiran generasi ilmuwan, teknokrat, pemikir dan pemimpin yang bukan sahaja mencipta kejayaan untuk diri sendiri, malah turut membawa kemakmuran kepada Negeri Pahang dan Malaysia.
Dewan berkapasiti 3,500 orang dalam satu masa yang siap dibina dalam tempoh dua tahun ini bakal menjadi saksi kepada detik bersejarah apabila seramai 3,345 graduan menerima skrol sebagai kumpulan pertama bergraduasi di bangunan yang diinspirasikan daripada reka bentuk Wau Pungguk, salah satu warisan tradisional yang mempunyai hubungan erat dengan daerah Pekan.
Inspirasi tersebut memberikan identiti tersendiri kepada dewan berkenaan, sekali gus mencerminkan hubungan erat UMPSA dengan bumi tempat universiti itu bertapak. – KESULTANAN PAHANG








