KUANTAN, 8 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya tindakan tegas diambil terhadap kontraktor bermasalah bagi mengelakkan projek pembangunan negeri menjadi projek sakit.
Paduka Baginda bertitah setiap projek yang diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, ketelusan dan pemantauan rapi.
Menurut Paduka Baginda, negeri Pahang menerima kelulusan 133 projek baharu dan 434 projek sambungan dengan nilai keseluruhan RM3.386 bilion.
“Saya tidak mahu melihat berlakunya ketirisan, kelewatan mahupun pembaziran. Setiap sen peruntukan mesti dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat,” Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut mengingatkan Exco kerajaan negeri, pegawai daerah, jabatan teknikal dan pihak berkaitan supaya bertindak awal sekiranya prestasi kontraktor menunjukkan tanda bermasalah.
“Jika prestasi kontraktor dah masuk yellow zone, bertindak awal. Jangan dah jadi projek sakit, baru huru-hara nak selamatkan.
“Jika perlu tamat, maka tamatkan dari awal. Mana-mana kontraktor yang buat onar ni, senarai hitamkan,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG






