KUANTAN 14 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang mengingatkan semua penerima Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (RuRASA) agar tidak sesekali menjual atau menyewakan rumah berkenaan kepada pihak lain.
Paduka Baginda menegaskan bahawa rumah yang dikurniakan itu tidak boleh dijual atau disewakan kerana ia disediakan khusus untuk manfaat penerima dan keluarga mereka.
“Janganlah fikir nak menjual atau nak sewa. Sewa pun saya tak bagi. Ini khas untuk awak semua. Kalau Allah dah panggil kita (meninggal dunia), turun (diwarisi) ke anak cucu pula.
“Tak boleh dijual atau disewa,” tegas Paduka Baginda pada Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) Fasa 2 Daerah Kuantan dan Jerantut di pekarangan tapak Rumah Ru’RASA, Tanjung Lumpur, di sini hari ini.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang.
Hadir sama,Tuan Yang Terutama Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, Dr Mubarak Saeed Ahmed Al Dhaheri; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Perumahan Dan Hartanah Pahang (LPHP), Dato’ Ahmad Islanizam A.Halim.
Dalam titah berasingan, Kebawah Duli Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada UAE atas kerjasama dan keprihatinan dalam membantu rakyat Pahang, khususnya melalui penyediaan kediaman serta bantuan lain yang diperlukan.
“Sekali lagi, saya ingin menyatakan penghargaan atas keprihatinan membantu rakyat saya di Pahang dengan menyediakan rumah dan beberapa bentuk bantuan lain apabila diperlukan.
“Kita sentiasa mendoakan kesihatan, kesejahteraan dan umur yang panjang kepada Yang Amat Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan (Presiden UAE) serta keselamatan Yang Amat Mulia sekeluarga serta rakyat UAE,” titah Paduka Baginda. – KESULTANAN PAHANG







