KEDAH, 15 Julai 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Program Kunjungan Muhibbah Diraja di Sungai Merbok, Kuala Muda di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku di Kompleks Pelancongan Sungai Merbok pada jam 9.35 pagi disambut oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Tuanku Raja Muda Kedah dan Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff Tuanku Raja Puan Muda Kedah.
Dalam kunjungan tersebut, Duli-Duli Tuanku berkenan mendengar persembahan taklimat berkenaan Gok Arang yang merujuk kepada relung atau bangsal tradisional bata untuk membakar arang yang terletak di sepanjang tebing sungai Merbok yang kaya dengan paya bakau.
Seterusnya Duli-Duli Tuanku berkenan berangkat menyelusuri Sungai Merbok dengan menaiki bot selama 45 minit sebelum berkenan melawat sekitar Kompleks Jeti Tembeling yang terdiri daripada pameran reruai tapak warisan, galeri Geopark Jerai, galeri Biodiversiti Merbok dan galeri Kedah Tua.
Sebelum majlis berakhir, Duli-Duli Tuanku berkenan berangkat ke auditorium untuk mendengar persembahan taklimat berkenaan Sejarah Negeri Kedah.
Turut mengiringi keberangkatan Duli-Duli Tuanku ialah Yang Teramat Mulia Tunku Sulaiman Badlishah bin Tengku Sarafudin Badlishah dan Yang Teramat Mulia Tunku Zara Bahiyah binti Tengku Sarafudin Badlishah. – KESULTANAN PAHANG








