KEDAH, 16 Julai 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menziarahi Istana Kuning dan Balai Besar di Kota Setar, hari ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku diiringi sendiri oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Tuanku Raja Muda Kedah dan Duli Yang Teramat Mulia Che Puan Muda Zaheeda binti Mohamad Ariff Tuanku Raja Puan Muda Kedah.
Dalam kunjungan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Puan Muda Kedah berkenan menceritakan secara ringkas sejarah serta keunikan Istana Kuning dan Balai Besar kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku.
Baginda berdua turut berkongsi mengenai peranan bangunan bersejarah itu sebagai mercu tanda warisan Kesultanan Kedah yang masih kekal hingga ke hari ini.
Turut hadir mengiringi keberangkatan Duli-Duli Tuanku ialah Yang Teramat Mulia Tunku Sulaiman Badlishah bin Tengku Sarafudin Badlishah, Yang Teramat Mulia Tunku Zara Bahiyah binti Tengku Sarafudin Badlishah serta Dato’ Pengelola Bijaya Diraja, YBhg. Dato’ Seri Setia DiRaja Dato’ Paduka Haji Bakar bin Din. – KESULTANAN PAHANG







