KUANTAN, 1 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke Jamuan Diraja Pesta Kuantan 188 yang berlangsung di Zenith Hotel Kuantan, malam tadi.
Turut berangkat mengiringi Paduka Baginda ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang serta Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda dan Kerabat Diraja disambut oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, dif-dif kenamaan serta penaja utama Pesta Kuantan 188 Tahun 2026.
Majlis dimulakan dengan persembahan pembukaan Orkestra Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah sebelum para tetamu diraikan dalam Jamuan Diraja yang turut diserikan dengan persembahan hiburan.
Hadirin kemudiannya dipertontonkan tayangan video sorotan Pesta Kuantan 188 Tahun 2025 diikuti ucapan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Trinidad Hospitality, YH Dato’ Sri Omar Naresh Mohan.
Turut berlangsung tayangan video sorotan Pesta Kuantan 188 Tahun 2026 sebelum Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan menyempurnakan Majlis Pengurniaan Plak Penghargaan Anugerah Perak dan Anugerah Emas kepada penaja-penaja Pesta Kuantan 188 Tahun 2026. – KESULTANAN PAHANG






