SARAWAK, 20 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berangkat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini bagi memulakan lawatan selama tiga hari sehingga 22 Ogos 2026.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda kira-kira pukul 12 tengahari hari ini disambut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), YB Datuk Haji Abdul Rahman Haji Junaidi serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Sepanjang lawatan ini, beberapa program disusun bagi memenuhi jadual keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda termasuk majlis santapan rasmi, perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Telok Melano, meninjau di sekitar KM 0.00 Lebuhraya Pan Borneo dan sesi mengadap oleh Premier Sarawak.
Lawatan ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan silaturahim serta kerjasama erat antara Pahang dan Sarawak. -KESULTANAN PAHANG






