KUANTAN, 31 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat melawat Temasya Warisan Pahang 2026 yang berlangsung di Muzium Seni Kontemporari (MOCA), Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang serta paduka-paduka anakanda.
Dalam lawatan berkenaan, Paduka Baginda berkenan meninjau pelbagai pameran, hasil seni dan kraf tradisional yang diketengahkan sepanjang temasya berkenaan.
Temasya Warisan Pahang 2026 menghimpunkan pelbagai khazanah warisan, seni dan budaya negeri Pahang menerusi penglibatan penggiat seni, kraf, masakan tradisional serta komuniti warisan dari seluruh negeri.
Antara pengisian yang diketengahkan termasuk pameran dan jualan kraf, demonstrasi serta bengkel seni tradisional seperti Tenun Pahang Diraja, batik, anyaman, ukiran kayu, seramik, seni kelingkam dan seni telepuk.
Temasya Warisan Pahang 2026 yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 7 September 2026 merupakan wadah penting dalam usaha memperkenalkan, memelihara dan mengangkat warisan, seni serta budaya Pahang agar terus dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang. – KESULTANAN PAHANG








