KUALA LUMPUR, 8 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke Istiadat Pernikahan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia bersama pasangannya, Christopher Lionel Froggatt yang berlangsung di sebuah hotel di ibu kota, hari ini.
Turut berangkat mengiringi Paduka Baginda ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bersama paduka kekanda dan adinda serta kerabat bergelar.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Sri Dato’ Burhah Mohammed serta wakil Presiden UAE, Shaikh Mohammed bin Hamad bin Tahnoon Al Nahyan.
Pada majlis berkenaan, pasangan Pengantin Diraja dibawa masuk ke pelamin sebelum Istiadat Menyuap Nasi Semangat dizahirkan oleh YAM Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Dato’ Sri Setia Hajjah Meriam binti Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Pasangan Pengantin Diraja kemudiannya kekal di pelamin untuk meneruskan Istiadat Bersanding dan Merenjis yang dizahirkan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan kemudiannya diikuti ahli keluarga.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan menyempurnakan Istiadat Meletakkan Panca Bicara kepada pasangan Pengantin Diraja sebagai tanda merestui dan meraikan pasangan pengantin sebelum istiadat diberkati dengan bacaan doa oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Profesor Dato’ Dr. Haji Asmadi bin Mohamed Naim.
Istiadat diakhiri dengan sesi bergambar bersama keluarga Diraja dan tetamu kehormat sebelum Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berangkat meninggalkan majlis. – KESULTANAN PAHANG






