NILAI, 10 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat menyaksikan perlumbaan akhir acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional, di sini hari ini.
Turut berangkat, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohamed Taufiq Johari.
Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang di mana pada kejohanan ini, Muhammad Shah Firdaus Sahrom membuktikan keunggulannya apabila merangkul pingat emas acara Keirin lelaki.
Shah Firdaus berjaya menewaskan rakan sepasukannya, Dato’ Mohd Azizulhasni Awang yang meraih pingat perak, manakala pingat gangsa dimenangi Muhammad Fahil Mohd Zonis. Kemenangan tersebut turut menyaksikan Shah Firdaus kembali merampas gelaran juara kebangsaan acara Keirin yang kali terakhir dimenanginya pada edisi 2022.
Dalam saingan wanita pula, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menepati ramalan apabila berjaya meraih pingat emas acara Keirin wanita. Pingat perak dimenangi Nur Alyssa Mohd Farid, manakala Anis Amira Rosidi melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan meraih pingat gangsa.
Kemenangan Shah Firdaus dan Nurul Izzah menyerlahkan dominasi pelumba elit negara dalam acara Keirin serta mengukuhkan persiapan skuad berbasikal trek negara menghadapi cabaran di pentas antarabangsa musim ini. – KESULTANAN PAHANG







