SHAH ALAM, 21 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke Kejohanan Golf Amal sempena Sambutan 100 Tahun Sekolah Sultan Ahmad yang berlangsung di Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 7.15 pagi disambut YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar serta Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan 100 Tahun Sekolah Sultan Ahmad, YH Dato’ Ahmad Rahimi Abdul Samad.
Keberangkatan Kebawah Duli Tuanku kemudiannya berkenan menyempurnakan acara tee-off sebelum bermain golf bersama lebih 100 peserta yang menyertai kejohanan.
Sekolah Sultan Ahmad yang ditubuhkan pada tahun 1926 dengan nama Government English School merupakan antara institusi pendidikan bersejarah yang telah melahirkan ramai tokoh terbilang negara termasuk Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sendiri, selain Yang Amat Berbahagia Tun Khalil Yaakub, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis dan Yang Berbahagia Tan Sri Sidek Hassan.
Kejohanan Golf Amal tersebut bukan sekadar aktiviti sukan dan riadah, malah menjadi platform untuk mengumpul dana bagi menyokong pelaksanaan program kemenjadian murid serta memperkasakan pembangunan pendidikan generasi muda.
Sebahagian dana yang berjaya dikumpulkan akan disalurkan kepada pihak sekolah bagi melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada pembangunan sahsiah dan kemenjadian murid.
Kejayaan penganjuran kejohanan itu juga menjadi penanda aras kepada beberapa program utama yang akan berlangsung sepanjang Julai depan, termasuk Program Ragbi 10 Jemputan, Kejohanan Golf Classic di Kelab Golf Diraja Pekan, Karnival Pendidikan, Fun Run dan Jamuan Diraja Sempena Sambutan 100 Tahun Sekolah Sultan Ahmad yang dijadualkan berlangsung pada 25 Julai 2026.
Pada majlis sama. YH Dato’ Ahmad Rahimi mewakili seluruh ahli jawatankuasa merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menerima pelantikan sebagai Penaung Diraja Sambutan 100 Tahun Sekolah Sultan Ahmad yang disifatkan sebagai pembakar semangat kepada seluruh jawatankuasa induk untuk memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan jayanya. -KESULTANAN PAHANG








