CAMERON HIGHLANDS, 10 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pelepasan Peserta Ekspedisi Mendaki Gunung Irau sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Mossy Forest, di sini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda pada pukul 8 pagi disambut Ketua Ekspedisi Mendaki Gunung Irau, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal; YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, Profesor Dato’ Dr. Haji Asmadi bin Mohamed Naim dan Ketua Hakim Syarie Pahang, YAA Dato’ Haji Abdul Walid bin Haji Abu Hassan.
Seramai 121 peserta daripada 42 jabatan dan agensi di seluruh Pahang menyertai ekspedisi berkenaan yang merupakan antara pengisian sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Paduka Baginda.
Pada majlis tersebut, turut berlangsung penyerahan Bendera Pahang sempena Ekspedisi Mendaki Gunung Irau kepada wakil Majlis Rekreasi Pahang, diikuti persembahan cendera kenangan buat Kebawah Duli Paduka Baginda.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan menyertai sesi bergambar bersama para peserta sebelum menyempurnakan pelepasan peserta untuk memulakan pendakian Gunung Irau.
Sementara itu dalam titah, Paduka Baginda mengingatkan para peserta supaya sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang pendakian, khususnya ketika melalui kawasan yang berbahaya dan mencabar.
“Hati-hati bila melangkah mana-mana tempat yang agak bahaya. Saya harap tak ada dengar kecederaan ataupun sebaliknya. Saya doakan semua selamat, pergi dan balik. Mudah-mudahan semua akan berjaya,” titah Paduka Baginda.
Pendakian Gunung Irau yang berketinggian kira-kira 2,110 meter dari aras laut mengambil masa sekitar empat jam untuk mendaki dan empat jam untuk turun.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut mengingatkan peserta supaya bersama-sama menjaga kelestarian alam sekitar sepanjang ekspedisi, khususnya kawasan Mossy Forest yang merupakan khazanah alam semula jadi yang perlu dipelihara.
Paduka Baginda turut menitahkan peserta supaya tidak merosakkan alam sekitar dan turut membantu menjaga kebersihan kawasan berkenaan dengan mengambil sampah yang ditemui sepanjang laluan pendakian.
“Kalau nampak yang kotor-kotor itu, angkatlah sikit. Sama-sama bantu kebersihan sini,” titah Paduka Baginda.
Ekspedisi berkenaan turut menyokong usaha membudayakan gaya hidup sihat, aktif dan lasak dalam kalangan warga negeri, di samping memperkasa aktiviti rekreasi serta ekopelancongan dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan khazanah alam semula jadi Negeri Pahang. — KESULTANAN PAHANG








