CAMERON HIGHLANDS, 18 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Seminar Sustainable Horticulture In Cameron Highlands, Misi Perdagangan Belanda yang berlangsung di Hotel Zenith, hari ini.
Seminar anjuran Kedutaan Belanda itu menghimpunkan delegasi daripada 11 organisasi dan syarikat agroteknologi Belanda bagi membincangkan kerjasama strategik dalam memperkukuh sektor pertanian mampan khususnya di Cameron Highlands.
Keberangkatan Paduka Baginda disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Duta Belanda ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Jacques Werner serta wakil-wakil industri pertanian tempatan dan antarabangsa.
Seminar tersebut memberi fokus kepada pengurusan lestari dalam sektor hortikultur, pemeliharaan alam sekitar, pembangunan sosioekonomi komuniti setempat serta penggunaan teknologi moden dan pertanian pintar dalam meningkatkan hasil pertanian secara lebih selamat dan efisien.
Turut diadakan sesi pembentangan mengenai Sustainable Farming in Cameron Highlands yang disampaikan pakar agro tempatan, Dato’ Luuk Runia yang telah aktif dalam pembangunan sektor pertanian di Cameron Highlands sejak lebih 30 tahun lalu.
Paduka Baginda turut berkenan mengutarakan pendapat dan pertanyaan berkenaan perkembangan projek SMACH Agropark yang bertujuan mempromosikan kemajuan teknologi pertanian moden di samping menyediakan latihan kemahiran kepada golongan belia di negeri Pahang.
Selain itu, seminar berkenaan turut menampilkan beberapa sesi panel melibatkan syarikat-syarikat Belanda dalam bidang teknologi hortikultur, inovasi pertanian, pembangunan rumah hijau serta penyelesaian pertanian mampan yang berpotensi diaplikasikan di Cameron Highlands.
Penganjuran seminar ini dilihat mampu membuka ruang kerjasama lebih luas antara Malaysia dan Belanda dalam memperkasakan sektor pertanian moden, sekali gus memastikan kelestarian industri hortikultur negara untuk jangka panjang.
Keberangkatan Paduka Baginda mencerminkan komitmen berterusan Institusi Kesultanan Pahang dalam menyokong agenda pembangunan pertanian mampan dan inovasi teknologi demi manfaat rakyat serta ekonomi negeri. – KESULTANAN PAHANG







