KUANTAN, 5 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat ke Majlis Pengurniaan Sijil Pentauliahan Kursus Asas Payung Terjun Statik Ram Air Istana Pahang yang berlangsung di Balai Seri Temenggong, Istana Abdulaziz, hari ini.
Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para peserta yang berjaya menamatkan kursus berkenaan, sekali gus menjadi kumpulan perintis Pasukan Payung Terjun Istana Pahang yang diwujudkan hasil kerjasama erat antara Istana Pahang, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Titah Paduka Baginda, kejayaan melahirkan kumpulan pertama peserta yang berjaya melengkapkan penerjunan sebagai satu pencapaian yang membanggakan serta mencerminkan semangat keberanian dan komitmen tinggi yang dimiliki oleh mereka.
“Buat pertama kalinya kita berjaya mewujudkan satu kumpulan yang berani tampil menyahut cabaran untuk melaksanakan penerjunan.
“Daripada keseluruhan peserta, seramai 25 orang berjaya menamatkan kursus ini dan layak menerima sijil pada hari ini,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan rasa bangga terhadap kesungguhan para peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang tugas, termasuk pegawai dan anggota yang bertugas secara langsung bersama baginda dalam urusan harian.
“Ada dalam kalangan mereka merupakan pemandu saya sendiri, ada yang membantu dalam persiapan bilik dan urusan harian istana.
“Yang paling mengejutkan saya ialah anggota pengiring bermotorsikal yang turut berjaya menyahut cabaran ini. Syabas saya ucapkan kepada mereka semua,” titah Paduka Baginda.
Pada masa sama, Paduka Baginda turut menzahirkan rasa simpati terhadap dua peserta yang tidak dapat menamatkan kursus tersebut akibat insiden semasa pendaratan.
Menurut Paduka Baginda, kedua-dua peserta berkenaan secara kebetulan mempunyai nama yang sama iaitu Koperal Aizat.
“Saya mendoakan agar kedua-duanya segera sembuh dan dapat kembali bertugas seperti biasa,” titah Paduka Baginda.
Sementara itu, Kebawah Duli Paduka Baginda turut bertitah bahawa latihan penerjunan bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan kekuatan mental, disiplin tinggi dan keberanian luar biasa untuk mengatasi rasa takut serta cabaran yang dihadapi sepanjang latihan.
Paduka Baginda bertitah, sebelum latihan dimulakan ramai yang tampil menawarkan diri untuk menyertainya, namun apabila latihan sebenar bermula, terdapat segelintir yang terpaksa menarik diri atas pelbagai faktor dan komitmen masing-masing.
“Latihan ini amat mencabar. Sebab itu saya amat menghargai mereka yang berani tampil dan terus kekal sehingga berjaya menamatkannya,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda menegaskan bahawa kejayaan program tersebut tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan padu daripada pelbagai agensi yang terlibat, khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
“Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pasukan sokongan yang banyak membantu menjayakan program ini.
“Komitmen serta kerjasama yang diberikan oleh semua pihak amat bermakna dan membolehkan program ini dilaksanakan dengan jayanya,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan khusus kepada JBPM atas bantuan dan sokongan yang diberikan sepanjang pelaksanaan kursus berkenaan.
“Saya amat terharu dengan bantuan yang diberikan. Hubungan antara pihak bomba dan institusi istana sentiasa erat dan berada pada tahap yang sangat baik,” titah Paduka Baginda.
Kebawah Duli Paduka Baginda turut memaklumkan bahawa satu lagi siri latihan penerjunan dijangka akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memberi peluang kepada lebih ramai anggota dan kakitangan yang berminat untuk menyertai program berkenaan.
Mengakhiri titah, Paduka Baginda mendoakan agar seluruh peserta, tenaga pengajar, anggota keselamatan serta semua yang terlibat sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi agama, bangsa dan negara. -KESULTANAN PAHANG








