KUANTAN, 7 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, di sini semallam.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 8.40 malam disambut Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof; YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan – Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal.
Pada majlis tersebut, Paduka Baginda berkenan menyempurnakan gimik pelancaran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah sebagai simbolik bermulanya kejohanan yang menghimpunkan pemain lagenda bola sepak dari negeri Pahang dan Selangor.
Sejurus selepas itu, Paduka Baginda berkenan menghadiri sesi pengenalan pemain serta sesi bergambar bersama pasukan yang mengambil bahagian sebelum menyaksikan perlawanan persahabatan antara Pilihan Pahang dan Pilihan Selangor.
Perlawanan berlangsung dalam suasana penuh semangat kesukanan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada ribuan penyokong yang hadir.
Perlawanan tersebut menyaksikan pasukan Pilihan Pahang berjaya menewaskan Pilihan Selangor dengan keputusan 2-1, sekali gus menceriakan para penyokong tuan rumah yang memenuhi Stadium Darul Makmur.
Pada acara sama, Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah serta beramah mesra dengan rakyat jelata yang tidak melepaskan peluang mendekati Paduka Baginda sebelum berangkat meninggalkan majlis. -KESULTANAN PAHANG








