PEKAN, 4 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan memasyurkan Masjid Kampung Padang Polo dengan nama Masjid Tengku Ampuan Besar Fatimah.

Keberangkatan Paduka Baginda ke masjid berkenaan diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengiringi YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama isteri YM Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan dua buah rumah Ru’Rasa bernilai RM150,000 kepada imam dan bilal Masjid Tengku Ampuan Besar Fatimah selain mengurniakan sumbangan kepada 100 orang asnaf di kawasan sekitar.

Dalam pada itu, Paduka Baginda turut berkongsi betapa dalamnya kenangan terhadap nama masjid ini yang diambil sempena nama nenda Paduka Baginda sendiri.

Paduka Baginda juga turut bertitah bahawa Padang Polo di tempat terletaknya masjid ini adalah lokasi Paduka Baginda selaku generasi keempat bermain polo sejak diawal usia.
“Di sebalik namanya, tersirat hikmah yang mendalam, mengingatkan kita bahawa Islam tidak hanya mengangkat rohani sebagai tunjang kehidupan, tetapi turut menekankan pentingnya jasmani yang sihat dan kuat.

Di antaranya maksud kata-kata Saidina Umar Radial-Lahu-Anhu: “Ajarlah anak-anakmu memanah, menunggang kuda dan berenang”.
“Kata-kata ini bukan sekadar pesanan kosong, tetapi peringatan luhur bahawa kesihatan adalah kurnia, kekuatan adalah amanah, dan kecergasan adalah tanda kebijaksanaan.

“Maka, marilah kita jadikan sukan sebagai jambatan kesihatan, dan riadah sebagai wasilah keutuhan jasmani,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah, jika tidak mampu menghunus panah di medan memanah, maka cukuplah dengan menggerakkan tubuh, walau hanya sekadar berjalan mengelilingi padang polo ini.

“Jika tidak berpeluang menunggang kuda, maka cukuplah dengan beriadah di halaman sendiri, demi kesejahteraan yang berkelanjutan”, titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG