KUALA LUMPUR , 16 April 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah semalam berkenan menerima mengadap 15 anggota pengiring rapat Istana Pahang yang akan menyertai Kursus Asas Payung Terjun Statik Ram Air Siri 2/2026 bermula 16 April 2026 hingga 27 April 2026.
Siri 2 ialah kesinambungan daripada Siri 1 yang tamat pada 9 April lalu di Kuantan.
Paduka Baginda berkenan memberi nasihat dan kata-kata semangat kepada semua peserta agar berhati-hati serta mengikuti kursus dengan bersungguh-sungguh.
Kesemua peserta terlibat akan menjalani dua fasa kursus yang diselaraskan oleh Juruiring ATM KDPB Sultan Pahang, Kolonel Mohd Razlan Bin Jamaludin TUDM iaitu fasa pertama (teori) di Markas Rejimen TUDM Jugra manakala fasa kedua (penerjunan) di Lapangan Terbang Tekah, Taiping.
Kursus ini akan dikendalikan oleh Jurulatih dari Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sambil dibantu oleh Jurulatih dari Pasukan Khas Udara TUDM (PASKAU). -KESULTANAN PAHANG







