CAMERON HIGHLANDS, 8 Jun 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Hadiah Kejohanan Golf Amatur Terbuka Cameron Highlands Ke-27 Tahun 2026 yang berlangsung di Kelab Golf Sultan Ahmad Shah (KGSAS), di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda mencerminkan sokongan berterusan Institusi Kesultanan Pahang terhadap pembangunan sukan golf di negeri ini di samping memperkukuhkan kedudukan Cameron Highlands sebagai destinasi pelancongan sukan yang terkenal di peringkat nasional.
Pada majlis tersebut, Paduka Baginda berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang kejohanan yang berlangsung dengan penyertaan pemain-pemain golf amatur dari pelbagai negeri.
Turut hadir YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Nazri Abu Bakar; Ahli Parlimen Cameron Highlands, YB. Tuan Ramli Dato’ Mohd Noor serta Presiden Kelab Golf Sultan Ahmad Shah merangkap Pegawai Daerah Cameron Highlands, Tuan Kamarul Iskandar Nordin.
Kejohanan Golf Amatur Terbuka Cameron Highlands merupakan acara dwitahunan yang telah berkembang menjadi antara kejohanan golf amatur paling berprestij di negeri Pahang dan tahun ini memasuki penganjuran kali ke-27.
Kejohanan pada tahun ini berjaya menarik penyertaan seramai 120 pemain manakala 40 lagi ditempatkan dalam senarai menunggu. Daripada jumlah tersebut, seramai 84 peserta terdiri daripada pemain luar manakala 36 orang merupakan ahli Kelab Golf Sultan Ahmad Shah.
Lebih menarik, kejohanan kali ini turut disertai oleh sepuluh orang atlet golf SUKMA Pahang yang sedang meningkat naik dari segi bakat dan prestasi.
Kejohanan Golf Amatur Terbuka Cameron Highlands Ke-27 dilihat terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan pembangunan sukan golf, mencungkil bakat-bakat baharu serta merancakkan sektor pelancongan sukan di Cameron Highlands dan negeri Pahang secara keseluruhannya. -KESULTANAN PAHANG








