KUANTAN, 14 September 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang hari ini berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Penutupan dan Perlawanan Akhir Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, di sini malam tadi.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda berdua disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail sebelum Paduka Baginda berdua berkenan menyaksikan perlawanan akhir yang menghimpunkan dua pasukan terbaik iaitu YPM FC dan Majlis Daerah Raub FC bagi merebut kejuaraan sulung Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah.
Turut hadir menyambut keberangkatan Paduka Baginda berdua ialah Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Sri Mohd Shahar bin Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Dato’ Fadzli Mohamad Kamal serta YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut berkenan menyaksikan sembah kenal para pemain dan pasukan yang beraksi dalam perlawanan akhir sebelum sepak mula disempurnakan.
Perlawanan berlangsung dalam suasana meriah dengan kedua-dua pasukan memperagakan aksi kompetitif bagi memburu kejuaraan di mana perlawanan berakhir dengan keputusan YPM FC berjaya menjulang piala kejohanan selepas menewaskan Majlis Daerah Raub FC dengan jaringan 2-1.
Pada acara berkenaan turut diadakan cabutan bertuah berupa kereta, motosikal dan telefon pintar buat pengunjung yang hadir selain dimeriahkan dengan persembahan artis iaitu Ara Johari, Baggio dan Azlan Typewriter.
Penganjuran Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan sukan bola sepak di negeri Pahang, di samping menyediakan platform kepada bakat-bakat tempatan untuk diketengahkan serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan. — KESULTANAN PAHANG







