KUANTAN, 9 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Orang Asli Sedunia 2026 kepada seluruh masyarakat Orang Asli, khususnya di negeri Pahang.
Kebawah Duli Paduka Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan serta peranan masyarakat Orang Asli dalam memperkayakan khazanah budaya, adat resam dan warisan negeri, selain menjadi sebahagian penting daripada masyarakat Pahang yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
Kebawah Duli Paduka Baginda berdua turut berharap agar masyarakat Orang Asli terus diberikan ruang dan peluang untuk meningkatkan taraf kehidupan, khususnya dalam aspek pendidikan, ekonomi, kemahiran serta pembangunan modal insan, tanpa mengetepikan identiti, adat dan warisan yang menjadi sebahagian daripada jati diri mereka.
Dalam pada itu, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang menyeru seluruh masyarakat agar terus memupuk semangat perpaduan, saling menghormati dan bekerjasama dalam memastikan keharmonian serta kesejahteraan negeri Pahang sentiasa terpelihara.
Kebawah Duli Paduka Baginda berdua seterusnya mendoakan agar seluruh masyarakat Orang Asli di Pahang dan di seluruh negara sentiasa dikurniakan kesejahteraan, kemakmuran dan kehidupan yang lebih baik, di samping terus teguh memelihara warisan dan budaya yang menjadi khazanah bersama. – KESULTANAN PAHANG






